RSS

Daily Archives: 12 Julai 2009

KADAR KELAHIRAN MENURUN!

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko bilangan penduduk yang mengecut berikutan kadar kelahiran bayi yang semakin menurun.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata walaupun pesakit ginekologi di Malaysia bertambah 15 peratus, kadar kesuburan di Malaysia dianggap menurun berbanding 1990-an.

Memetik laporan Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Liow berkata, kadar kesuburan di Malaysia adalah 2.6 bayi untuk sepasang suami isteri pada 2007 iaitu penurunan daripada kira-kira 3.6 bayi untuk satu pasangan pada 1990.

Penurunan itu dikaitkan dengan banyak faktor, termasuk masalah ketidaksuburan yang dialami penduduk negara ini.

“Masalah ketidaksuburan itu menjejaskan antara 10 hingga 15 peratus pasangan di Malaysia. Justeru, Kementerian Kesihatan sentiasa menyokong usaha seperti kaedah bayi tabung uji (IVF),” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan kelahiran bayi IVF ke- 2,000 di Pusat Perubatan Tropicana di Kota Damansara, Selangor, semalam.

Liow berkata, hingga kini ada 30 pusat kesuburan di seluruh negara dengan kebanyakannya bertumpu di pusat perubatan swasta.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, dalam keghairahan menawarkan kaedah rawatan kesuburan, semua pusat rawatan kesuburan itu mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan berkaitan ART (Teknologi Bantuan Reproduktif).

“Antaranya termasuk pendermaan sperma dan telur untuk ART hanya dibenarkan pada golongan bukan Islam dengan syarat penderma sperma mengenali penerima,” katanya.

Selain, kata Liow, pasangan yang melakukan ART tidak boleh memilih jantina bayi yang bakal lahir melainkan ia membabitkan risiko penyakit genetik yang serius.

p/s kepada semua, cepat2lah kahwin agar perkara ini dapat dielakkan dan seterusnya dapat mencapai hasrat Negara untuk memiliki penduduk yang ramai pada tahun 2020. Huhuh. Nak kahwinlah!!

 
2 Komen

Posted by di 12 Julai 2009 in APA JUA, ISU SEMASA