RSS

Daily Archives: 17 Mac 2009

Samad Said cabar pemimpin Umno

 

Bashir Ishak
Mon | Mar 16, 09 | 8:06:44 pm MYT

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) – Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

“Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris,” tegas A Samad.

“Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris,” ujar pejuang bahasa itu lagi.

“Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris,” kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, “Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur”.

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu. “Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno,” ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin.

Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan.

“Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, belia turut menegaskab bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan.

“Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini,” katanya lagi.

Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program “Kembara Kasih bahasa”.

“Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya.

“Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong,” ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.

Setiausaha Potik Menteri Besar Kedah, Mohd Sanusi Mod Noor telah menyampaikan ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha GMP, Hasni Abas turut menyampaikan ucapan. Majlis juga diselang-selikan dengan bacaan puisi oleh penyajak, Pak Salleh Bakar, tokoh sastera, Azizi Haji Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim._

 
1 Komen

Posted by di 17 Mac 2009 in ISU SEMASA

 

UMNO VS PAS

Oleh AIZAWATI AHMAD pengarang@utusan.com.my KUALA LUMPUR 16 Mac – UMNO dan Pas perlu mencari mekanisme terbaik jika kedua-dua parti itu mahu meneruskan hasrat mereka untuk bergabung. Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, kedua-dua parti itu juga perlu bersedia untuk berkorban dan ikhlas menerima sebarang perubahan terutamanya perkara yang membabitkan prinsip serta ideologi masing-masing. “Bercakap memang mudah, tetapi hendak melaksanakan, ia satu perkara yang sukar jika kedua-dua parti tidak ada keikhlasan untuk menjayakannya. “Jika Pas hendak sertai Barisan Nasional (BN), kita kena cari mekanisme terbaik bagi menjayakannya, kedua-dua parti perlu ada keikhlasan dan banyak berkorban,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mencadangkan kewujudan kerajaan perpaduan yang menggabungkan BN khususnya UMNO dan Pas yang merupakan impian seluruh orang Melayu di negara ini. Mohamad Khir berkata, segala usaha yang boleh menggerakkan ke arah merealisasikan impian tersebut antaranya mengadakan pertemuan di peringkat kepimpinan parti perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, menurut Syed Ali, jika awal-awal lagi kedua-dua parti sudah ada prasangka buruk antara satu sama lain, hasrat untuk bergabung amat sukar direalisasikan. Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nidzammudin Sulaiman memberitahu, Pas perlu melupakan pengalaman lalu jika mahu bekerjasama dengan BN. Jelasnya, jika dilihat kembali pendapat daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau dikatakan cukup serik untuk bekerjasama lagi dengan UMNO. “Di sini, saya melihat perlunya pengorbanan daripada kedua-dua parti, Pas perlu ada pendirian baru dan mereka kena melupakan pengalaman lalu. “Sementara itu, UMNO pula yang selalunya bersikap dominan perlu berkorban dan tidak boleh menganggap Pas sebagai sebuah parti komponen yang kecil,” ujarnya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal pula berpendapat, cadangan itu tidak mustahil untuk dilaksanakan dan yakin ia boleh direalisasikan dalam sekelip mata jika kedua-dua pucuk pimpinan parti tersebut ada keikhlasan untuk menjayakannya. “Kita kena perlu ketepikan emosi jika mahu melihat nasib orang Melayu dan agama Islam terus mendapat pembelaan sewajarnya dan yang paling penting untuk memelihara agar Melayu tidak berpecah-belah,” tegasnya. Beliau berkata, UMNO dan Pas perlu berkorban kerana ini semua untuk masa depan orang Melayu walaupun kedengaran masih ada pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Subahan juga percaya penggabungan itu akan membantu menstabilkan politik Malaysia terutamanya dalam situasi negara ini menghadapi krisis ekonomi global.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 17 Mac 2009 in ISU SEMASA